Rata-rata, kebanyakan penggemar muzik tanah air masih memilih lagu Terakhir, nyanyian penyanyi baru, Sufian Suhaimi sebagai juara carta muzik di stesen-stesen radio popular tanah air.

Mungkin ramai yang tidak tahu, lagu Terakhir ini sebenarnya sudah beberapa tahun berada di YouTube dan untuk kami, kehadiran Terakhir sudah dihidu sejak 2013-2014.

Pada waktu itu, nama penyanyinya juga masih tidak dikenali. Kini, walaupun lagunya sudah kerap menjadi lagu yang diputarkan di radio, namun nama Sufian sendiri masih menjadi tanda tanya buat ramai orang.

 

Namun begitu, Sufian sendiri mengakui dia lebih selesa sekiranya karyanya lebih popular berbanding namanya. Menurutnya, setidak-tidaknya dia masih punya ‘privacy’ dalam menjalani kehidupan dan pada masa sama, mencapai objektif utamanya iaitu memperkenalkan karya dan bakatnya.

Lagu berentak balada ini sememangnya berjaya mencuri hati pendengar, lebih-lebih lagi buat remaja yang sedang hangat bercinta dan melalui pengalaman perit. Liriknya sahaja sangat dekat dengan ‘kisah cinta’ masyarakat tempatan.

Walaubagaimanapun, Sufian menegaskan bahawa lirik dan lagu ini bukanlah diilhamkan daripada kisah sebenar kehidupannya, sebaliknya bersifat universal dan bergantung kepada interpretasi pendengar sendiri untuk menterjemahkannya.